Saturday, 23 July 2016

PIDATO : TAKTIK PENIPUAN KEWANGAN TERKINI ; PENIPU LICIK ATAU PENGGUNA YANG KURANG CERDIK
                                                                                       


 KELAS BM UIAM (20 JULAI  2016)
FGV, KWSP, Tabung Haji, 1MDB, 2.6 bilion.
Bukan ingin mencetus kontroversi, tetapi semuanya itu lebih signifikasi kepada istilah “wang”.

Seorang wanita berumur linkungan 30-an berputih mata apabila wang hasil simpanan perumahannya berjumlah hampir RM 200,000 lesap angkara terpedaya dengan skim pelaburan emas Genneva.

Warga emas terjerat hampir RM 70,000 terbuai cinta palsu di laman Facebook yang memohon pertolongannya untuk membayar wang untuk melepaskan sekatan hadiah oleh kastam Malaysia. 

Biasakah anda dengar kes sebegini? Renungkan.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam 1 Malaysia
Yang saya hormati saudara pembimbing berdedikasi ,
Kombinasi intelektual kehakiman berintegriti,
Rakan – rakan seperjuangan tersemat cinta di hati.

Taktik penipuan kewangan terkini. Itulah wadah pidato saya pada hari ini.
Taktik ditakrif cara dalam memperoleh sesuatu. Manakala, penipuan merujuk kepada helah dan menyembunyikan kebenaran. Menurut takrifan Albert Gailort Hart, dalam bukunya yang berjudul Money Debt and Economic Activity, wang dipercayai sebagai suatu kekayaan yang dimiliki untuk dapat melunasi hutang dalam jumlah tertentu dan pada waktu yang tertentu pula atau “Penimbun Kekayaan”.

Justeru, dengan bersandarkan kepada mauduk pidato saya. Ingin saya ajukan  persoalan utama. Salah siapa? Si penipukah yang licik? Ataupun si pengguna (mangsa) yang kurang cerdik?

Izinkan saya menukilkan dengan 3 nirmala kata pencetus minda.

Pertama-liciknya si penipu. Kebijakan penipu yang menggunakan pelbagai taktik berubah mengikut peredaran zaman. Si mangsa yang tidak menyedari dengan mudah mengikut telunjuk penjenayah tanpa berfikir panjang yang akhirnya memakan diri. Sebagai respresentasi, Jabatan Siasatan Jenayah Pahang(JSJP) mendedahkan taktik sindiket yang menyamar sebagai Polis menggunakan talian nombor pejabat Bukit Aman yang menghubungi mangsa, mendakwa dokumen pengenalan diri mangsa telah digunakan dalam jenayah di luar negara. Mangsa yang tergamam, terus mengikut telunjuk sindiket untuk menghubungi penyamar kedua sebagai polis luar negara untuk kepastian. Akhirnya dengan mudah mangsa memindahkan sejumlah wang ke akaun yang diberikan sindiket akibat takut asetnya dibekukan. Hakikatnya, sindiket mengubah taktik dan sasaran dari semasa ke semasa untuk mengelakkan aktiviti mereka terbongkar.


Sidang dewan bervisi,

Kedua- ketamakan diri mangsa. Mata yang dikaburi impian wang berganda, menjadikan manusia lupa mana mutiara, mana batu semata. Betapa melimpah mangsa terpesona dek dijanjikan pulangan wang berjuta. Satu kes dibuka, ada yang tertipu apabila agen pelabur menjanjikan kekayaan tanpa bersusah duluan. Bak kata mereka, “goyang kaki dapat duit” sambil menjual nama testimoni palsu yang dikatakan berjaya bertalu berumah mewah, berkereta penuh rumah. Sehingga ada yang sanggup meminjam bank, menjual tanah, dikorek simpanan. Habis punah dek ditipu manusia yang berpaling tadah. Skim cepat kaya, gores menang, pelaburan emas, mahupun peraduan sms. Hanya kerana ingin cepat kaya, umpama malangnya pak kaduk, ayamnya menang kampung tergadai. Tuak terbeli tunjang hilang, rezeki wang dinanti, duit lesap tanpa bayang.
Ironinya, pengguna perlu bijak dalam menilai, tidak terlampau mudah percaya pada sebarang peniagaan pulangan pantas.

Ketiga-dibuai dengan cinta. Mangsa sasaran berupa individu yang keseorangan, warga emas ataupun insan bermata jalang. Sindiket “Love Scam” akan menghantar pesanan berupa ayat perkenalan, ayat-ayat manis sehingga mangsa cair terkuis, wang diminta atas dasar cinta dusta yang akhirnya si mangsa memasukkan wang ke akaun yang tidak dikenali. Umpama Leka di kerak jarang, kuku habis peruk tak kenyang, cinta yang diharap dusta yang dipulang, harta lesap wang pun hilang. Kecuaian mangsa sendiri yang tidak berwaspada dengan individu tidak dikenali di laman sosial mampu mengundang padah jika tersalah gerak langkah.



Hadirin.

Pada hujung wacana bicara, tidak usah berbalah menuduh salah, emak kau hijau,bapaku putih. Kesedaran masyarakat perlu bersama dijernih. Waspadalah terhadap segala ganjaran mudah pulangan wang, ingatlah, bahawa taktala ayam direban disambar helang, padi di tangan menjadi lalang, sejarah mungkin akan berulang.


Sekian, terima kasih.